Oleh Nawi Ismail (Pelita Bahasa Mei 2003)
SETIAP bahasa mempunyai peraturan bahasa atau tatabahasa yang tersendiri. Peraturan tersebut perlu dikuasai oleh pengguna bahasa untuk membolehkan mereka menggunakan bahasa dengan betul bagi menyampaikan idea. Dalam konteks bahasa Melayu, aspek tatabahasa bahasa Melayu, khususnya, mula diperkenalkan kepada pelajar ketika mereka berada di sekolah rendah lagi. Perkara yang sama diulang dan diperluas di sekolah menengah.Ringkasnya, setiap pelajar sudah pun mempelajari tatabahasa bahasa Melayu tidak kurang daripada 10 tahun sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia. Namun, amat malang sekali apabila kenyataan membuktikan bahawa majoriti pelajar tidak menguasai tatabahasa bahasa kebangsaan kita dengan baik sehinggalah mereka meninggalkan alam persekolahan.
Kegagalan pelajar menguasai aspek ini dapat dikesan dengan mudah apabila karangan atau latihan bertulis pelajar dirujuki. Kelemahan tersebut pasti lebih ketara dalam perbualan mereka sehari-hari. Antara aspek asas tatabahasa yang hampir pasti digunakan dalam setiap penulisan, khususnya karangan dan sering pula terdapat kesalahan, termasuklah ketidaktepatan penggunaan kata sendi nama, kegagalan mematuhi hukum D-M, penggunaan imbuhan yang salah, dan binaan ayat yang tidak gramatis.
Sebagai contoh, kegagalan pelajar untuk membezakan penggunaan kata sendi nama dari daripada daripada begitu ketara. Penggunaan kata sendi nama akan dan akhiran -kan selalu bertukar ganti. Demikian juga penggunaan dua kata sendi nama serentak, iaitu demi untuk, sudah menjadi kelaziman bagi sesetengah pelajar. Selain itu, penggunaan kata sendi nama pada dan kepada pula seolah-olah perkara yang sukar sekali difahami. Kesalahan penggunaan imbuhan tertentu pula kerap terjadi. Perhatikanlah contoh kesalahan tersebut dalam ayat yang berikut yang dipetik daripada karangan pelajar.
1a. *Kerajaan ingin mempastikan bahawa pertubuhan itu tidak lari dari matlamat asal penubuhannya.
1b. Kerajaan ingin memastikan bahawa pertubuhan itu tidak lari daripada matlamat asal penubuhannya.
2a. *Ibu bapa bertindak sedemikian kerana mereka sayangkan anak mereka.
2b. Ibu bapa bertindak sedemikian kerana mereka sayang akan anak mereka.
3a. *Ibu bapa sanggup melakukan apa-apa sahaja demi untuk masa depan anak.
3b. Ibu bapa sanggup melakukan apa-apa sahaja demi / untuk masa depan anak.
4a. *Berbagai-bagai bantuan telah diberikan oleh pihak kerajaan pada mereka.
4b. Berbagai-bagai bantuan telah diberikan oleh pihak kerajaan kepada mereka.
Oleh sebab kelemahan tersebut pasti menjejaskan prestasi Bahasa Melayu pelajar dalam peperiksaan, guru Bahasa Melayu selalunya mengambil langkah tertentu untuk menanganinya. Kebiasaannya, semasa menyemak kerja bertulis pelajar, guru turut menandakan kesalahan tatabahasa yang terdapat dalam tugasan yang dihasilkan. Setelah memberikan penjelasan tentang sesuatu kesalahan, pelajar diminta membuat pembetulan. Ada juga guru yang memberikan panduan bertulis tentang tatabahasa kepada pelajar sebagai ikhtiar tambahan. Usaha lain termasuklah meminta pelajar mengesan kesalahan tatabahasa dalam teks yang disediakan oleh guru sebagai salah satu aktiviti pengajaran dan pemelajaran Bahasa Melayu.
Semua aktiviti itu dilaksanakan untuk mengukuhkan kefahaman pelajar tentang sesuatu konsep atau maklumat yang berkaitan dengan tatabahasa. Anehnya, kefahaman pelajar dalam hal ini tidak kekal lama. Selang beberapa hari, terdapat juga pelajar yang mengulangi kesalahan yang sudah pun difahami terdahulu. Dengan hal demikian, banyaklah masa guru Bahasa Melayu terbuang kerana terpaksa mengajarkan perkara yang sama atau hampir sama dari semasa ke semasa meskipun menyedari keberkesanannya tidak seberapa.
Sebagai guru Bahasa Melayu di sekolah, penulis turut berhadapan dengan masalah ini secara yang berterusan. Sehubungan dengan hal itu, penulis pernah berbincang dengan pelajar untuk mendapatkan reaksi mereka tentang permasalahan yang diperkatakan ini. Antara alasan kukuh yang dikemukakan oleh pelajar termasuklah bahawa mereka sudah biasa menggunakan bahasa yang tidak terikat oleh penggunaan tatabahasa yang betul dalam mata pelajaran bukan Bahasa Melayu. Maksudnya, aspek tatabahasa dipentingkan dalam Bahasa Melayu sahaja sedangkan dalam mata pelajaran yang lain, pelajar seolah-oleh diizinkan menggunakan bahasa Melayu yang tidak berperaturan.
Ada beberapa faktor yang memungkinkan fenomena ini terjadi. Salah satu daripadanya adalah kerana bagi mata pelajaran bukan Bahasa Melayu, aspek isi yang difokuskan. Aspek bahasa sudah dianggap betul sekiranya perkara yang diperkatakan dapat difahami. Kelemahan akan menjadi lebih ketara sekiranya guru yang mengajarkan mata pelajaran bukan Bahasa Melayu tidak berpengetahuan dalam soal kebahasaan, khususnya tatabahasa. Tegasnya, oleh sebab banyak mata pelajaran yang lain yang “mengizinkan” pelajar menggunakan bahasa yang tidak mematuhi tatabahasa, sudah tentu perkara yang sama dilakukan dalam Bahasa Melayu. Kesannya, sedikit banyak prestasi pelajar dalam Bahasa Melayu akan terjejas. Daripada aspek yang lain pula, pelajar akan terus menggunakan bahasa Melayu yang tidak menepati tatabahasanya dan matlamat untuk memantapkan tatabahasa bahasa Melayu sukar sekali menjadi kenyataan.
Kecelaruan penggunaan bahasa dalam kalangan anggota masyarakat juga menjadi salah satu faktor pengabaian pelajar terhadap aspek tatabahasa. Kebanyakan individu tidak memikirkan soal tatabahasa dalam penulisan mereka, apatah lagi ketika berlisan. Jika diperhatikan teks ucapan yang dibaca oleh individu tertentu yang tersiar melalui televisyen, aspek tatabahasa tidak dipedulikan langsung. Demikian juga halnya dengan sesetengah media cetak, terutama akhbar tabloid dan majalah tertentu di pasaran.
Kesilapan penggunaan tatabahasa terdapat juga pada papan tanda, kain rentang, risalah, dan surat pekeliling di jabatan kerajaan atau pihak swasta. Keadaan yang sama turut berlaku di sekolah. Pelbagai kesalahan tatabahasa dan ejaan dapat dilihat pada papan tanda, surat pekeliling, atau dalam buku catatan guru. Situasi yang sedemikian memberikan gambaran kepada pelajar bahawa tatabahasa bukanlah perkara penting dalam pengggunaan bahasa sehari-hari. Ertinya, secara tidak langsung, kelemahan penggunaan tatabahasa di persekitaran pelajar turut mempengaruhi pelajar untuk tidak menguasai aspek tersebut dengan baik.
Tidak dinafikan bahawa banyak sekolah, jabatan kerajaan, atau pihak swasta yang mengambil inisiatif untuk mengatasi kelemahan mereka dalam soal tatabahasa dan ejaan. Penulis kerap juga diminta mengendalikan kursus yang sedemikian. Apabila peserta diminta memberikan pandangan tentang kelemahan yang berlaku dalam soal tatabahasa, berbagai-bagai reaksi dapat direkodkan. Antara yang menarik termasuklah tanggapan mereka bahawa tatabahasa bahasa Melayu kerap berubah sehingga mengelirukan mereka. Bagi golongan guru pula, mereka menyalahkan ahli bahasa yang didakwa tidak sependapat dalam soal kebahasaan.
Realitinya, kedua-dua pandangan tersebut tidak tepat dan tidak cukup kukuh untuk dijadikan alasan tentang isu ini. Perubahan memang berlaku, tetapi bukan selalu. Pada tahun 1960-an atau tahun 1970-an, misalnya, penggunaan frasa semua pelajar-pelajar, mereka-mereka, lain-lain perkara, memperbesarkan, dan yang seumpamanya dianggap betul. Namun, bentuk yang sedemikian dianggap lewah dan tidak wajar digunakan dalam bahasa Melayu demi memantapkan tatabahasa bahasa kebangsaan kita. Perkara ini sudah pun diketahui umum, termasuk pelajar. Tegasnya, tanggapan bahawa tatabahasa sering “berubah-ubah” tidak benar sama sekali, tetapi penggunalah yang mengubah-ubahkannya mengikut kemahuan sendiri.
Alasan percanggahan pendapat ahli bahasa dalam soal tatabahasa pun tidak wajar diperbesar. Pendapat yang sedemikian lebih bersifat pelarian, iaitu untuk menutup kelemahan individu dalam aspek tatabahasa. Percanggahan pandangan, jika ada pun, tidaklah ketara dan pada umumnya, tidak melibatkan soal asas tatabahasa. Kelemahan yang dibangkitkan hanyalah yang meliputi perkara asas tatabahasa, misalnya, kata sendi nama, imbuhan, kata bilangan, hukum D-M, dan beberapa perkara lain, termasuk ejaan yang sudah pun tercatat dalam buku tatabahasa. Ahli bahasa manakah yang bercanggah pendapat dalam soal yang dimaksudkan sehingga mengelirukan pelajar dan pengguna bahasa yang lain? Dengan hal demikian, kita tidak boleh terus mengiktiraf individu tertentu sebagai ahli bahasa hanya kerana individu berkenaan memiliki ijazah dan pintar bercakap tentang soal bahasa dengan individu yang tidak mengetahui apa-apa tentang bahasa Melayu.
Oleh sebab itu, kelemahan pelajar dalam aspek tatabahasa memang ketara. Ada banyak faktor yang saling berkaitan dengan permasalahan ini. Namun, sikap pelajar dan sikap anggota masyarakat terhadap aspek tatabahasa merupakan faktor utama kelemahan ini masih ketara. Masalah ini sukar diatasi jika anggota masyarakat masih mengamalkan budaya “bangau oh bangau”. Daripada aspek yang lain pula, matlamat untuk memantapkan tatabahasa bahasa kebangsaan kita tidak akan menjadi kenyataan jika kita tidak berusaha untuk memantapkannya. Sekiranya semua anggota masyarakat, terutama tokoh negara, media massa, dan kakitangan awam, termasuk semua guru, menguasai tatabahasa bahasa Melayu sebagaimana sesetengah daripada mereka menguasai tatabahasa bahasa Inggeris, adakah kelemahan pelajar dalam aspek tatabahasa akan berterusan?